Musim peperiksaan sudah hampir tiba. Masing-masing sibuk mengulit buku-buku, nota-nota dan gambar-gambar. Perpustakaan tiba-tiba penuh luar biasa. Aktiviti-aktiviti masa senggang banyak yang ditinggalkan demi memberi penumpuan kepada peperiksaan. Debaran peperiksaan sungguh kuat sehingga ramai yang menjadi gelisah hanya memikirkan tentangnya.
Lebih-lebih lagi, untuk yang bergelar pelajar perubatan, ramai yang sedia maklum tentang cabaran getir melalui peperiksaan dan mengapa lulus itu sangat-sangat mustahak. Antara lulus dan gagal, ada satu jurang yang besar. Gagal bukan sahaja bermakna terpaksa mengulangi semester tersebut, malah ia juga bermakna terpaksa menambah tempoh pengajian, terpaksa berhadapan dengan risiko ditamatkan penajaan, terpaksa berhadapan dengan ibu-bapa dan keluarga, dan yang paling getir, terpaksa berhadapan dengan diri sendiri, mempersoalkan bagaimana ia boleh berlaku sedangkan segala usaha telah dicurahkan, cuba mencari di mana kesilapan diri dan cuba meyakinkan diri bahawa peluang masih ada.
Bukan niat penulis untuk menakut-nakutkan pembaca dengan isu gagal ini, tetapi kita perlu membuat persiapan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Pertama sekali, kita perlu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah dan meyakini bahawa segala perancanganNya adalah yang terbaik. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, “Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu” (216) Allah sentiasa mengetahui yang terbaik untuk hambaNya. Di sini kita perlu ingat bahawa tujuan kita menjadi doktor adalah untuk menyelamatkan nyawa manusia. Mungkin,hikmah di sebalik kegagalan dalam peperiksaan itu ialah supaya kita mempunyai lebih masa untuk mendalami ilmu itu dengan lebih tekun sehingga kita akhirnya menjadi seorang doktor yang lebih baik di masa depan. Mungkin juga kerana Allah tahu bahawa kita belum bersedia.
Hakikatnya, ramai tokoh-tokoh yang hebat lahir dari golongan mereka yang gagal berkali-kali tetapi setiap kali mereka gagal bangun kembali dengan gagah membetulkan kesilapan yang lalu. Saya pernah diberitahu oleh seorang doktor yang hebat yang dalam perjalanannya untuk menjadi seorang doktor, dia pernah menghadapi kegagalan. Tetapi dia tidak menjadikan itu suatu alasan untuk berputus asa. Dia tidak berasa tertekan melihat rakan-rakannya terus maju ke depan sedangkan dia terpaksa mengulang semester yang sama, kerana dia sentiasa memberitahu dirinya, ‘Biarkan orang lain berlari, aku akan terus berjalan sehingga aku sampai ke destinasiku’. Dan akhirnya dia betul-betul sampai ke tempat yang dituju dan menjadi seorang doktor yang hebat.
Ingatlah, gagal dalam peperiksaan itu juga boleh menjadi satu bentuk cubaan Allah terhadap hambaNya. Mereka yang gagal itu mungkin sahaja mereka yang rajin belajar dan telah mencurahkan segala daya usaha mereka tetapi Allah hendak menguji mereka dengan ujian yang kecil. Ingatlah firman Allah, “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu,dan belum nyata orang-orang yang sabar” (3:142) Setiap dari kita akan diuji oleh Allah, cuma mungkin dalam bentuk-bentuk yang berbeza. Selagi kita menaruh sepenuh kepercayaan terhadap janji-janji Allah, insyaAllah Dia tidak akan mempersiakan doa kita
.
Dan ingatlah juga bahawa setiap kesukaran yang kita tempuhi bukan penamat kepada segala cita-cita kita. Sepertimana firman Allah di dalam surah Al-Insyirah, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan” (5), dan Allah menegaskan sekali lagi dalam ayat seterusnya, “Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”. Sekiranya kita berpegang teguh dengan kalimat-kalimat ini kita akan mendapat ketenangan dan kita akhirnya akan menyedari betapa besarnya hikmah dari segala yang berlaku.
Saya sendiri mempunyai rakan-rakan yang telah dan pernah merasai peritnya sebuah kegagalan itu. Dan saya melihat betapa kuatnya mereka ini. Dari luarannya mereka mungkin nampak kerdil tetapi dalam diri mereka ada jiwa yang teguh dan tidak mengenal erti putus asa. Walaupun pahit mereka tetap mengutip kekuatan diri dan terus tegak mengharungi kepahitan itu. Dari manakah mereka memperoleh kekuatan sebesar itu? Pastinya dari kepercayaan yang kukuh kepada Allah dan pengharapan sepenuhnya kepadaNya, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Akhir sekali, ingatlah juga kata-kata dari Henry Ford ini, ketika orang-orang di sekelilingnya langsung tidak menaruh kepercayaan kepadanya dalam usahanya membina sebuah kenderaan yang tidak memerlukan tenaga fizikal untuk digerakkan, dia hanya berkata, “Aku tidak akan berhenti membuat sesuatu sehingga aku menamatkannya”. Jalan boleh menjadi sangat berliku sehingga kita tidak punya harapan dan keyakinan untuk menjumpai jalan keluar, tetapi selagi kita mempunyai azam untuk terus mencari jalan keluar itu, kaki kita akan terus juga melangkah.
Selamat maju jaya diucapkan kepada semua yang akan menempuh peperiksaan. Marilah kita mendoakan kejayaan setiap dari kita.
“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman” (3:139)
gudluck doktor amirul =) nanti saya nak jadi pesakit tetap awak yer... hahahaha
ReplyDeleteboley2~ huhu
ReplyDeleteamirul~~~..jeng,jeng,jeng....
ReplyDeletehaha....ap jeng2...
ReplyDelete